mutakhir

Tahniah Sarjan Mejar Maznan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Tindakan pantas Ketua Balai Bukit Tinggi, Sarjan Mejar Maznan Omar menyelamatkan seorang remaja perempuan yang cuba terjun dari jambatan di Bukit Tinggi, Bentong, 16 Mac lalu, mendapat perhatian Gabungan Persatuan Wanita (GPW) Pahang.

Sebagai tanda penghargaan, GPW menyampaikan surat penghargaan dan cenderamata kepada Maznan bersama 12 anggota polis Balai Polis Bukit Tinggi, kelmarin.

Pengerusi GPW Pahang, Datuk Seri Maznah Mazlan berkata, pihaknya menghargai dan berbangga di atas kejayaan Maznan bersama anggota polis.

Katanya, tindakan Maznan dan anggota mengharumkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan membantu meningkatkan keyakinan awam.

"Ia juga memberi contoh yang baik kepada PDRM dan sebagai sukarelawan wanita, kami amat menghargainya. Saat mencemaskan dan menyentuh hati apabila menyaksikan video terbabit.

"Tidak semua orang dapat melakukan tindakan yang berani itu tetapi Maznan berjaya mengendalikan kes itu dan menyelamatkan remaja berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, surat penghargaan dan sumbangan hamper disampaikan kepada Maznan dan anggota polis balai Bukit Bukit Tinggi oleh wakil GPW Pahang, Norbakyah Abd Rashid.

Pada 16 Mac lalu, Maznan menyelamatkan remaja perempuan yang cuba terjun dari jambatan di Kilometer 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat susur Berjaya Hills Bukit Tinggi.

Video Maznan menyelamatkan remaja berusia 16 tahun itu dengan menarik remaja berkenaan dari belakang sebelum dibantu anggota polis tular di media sosial dan mendapat pujian ramai.

Mangsa didakwa tertekan selepas ditegur kerana sering bermain permainan video di telefon bimbit dan bapanya merampas telefon itu.

Ketika proses memujuk, Ketua Balai Polis Bukit Tinggi sempat berlari ke arah mangsa dan menariknya dari belakang.

Pada masa sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan menzahirkan perasaan bangga atas tindakan berani Maznan dan sememangnya wajar dipuji.

Berita berkaitan

Terbaik Sarjan Mejar Maznan!

Cuba terjun sebab tertekan dilarang main 'game' [METROTV]

Disiarkan pada: March 23, 2021 @ 4:26pm
d