mutakhir

Saya tidak tahu dipecat - Adun Titi Serong

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim memaklumkan beliau masih belum mendapat keputusan secara rasmi berhubung pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hasnul Zulkarnain berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media semalam.

"Saya memang tidak tahu dipecat dan hanya diberitahu di media, tetapi secara rasminya belum saya terima lagi," katanya.

Beliau berkata, setakat ini beliau memegang keputusan pemecatan seperti dikeluarkan di media.

"Saya menerima keputusan itu dan saya tidak akan merayu," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai khabar angin berjumpa dengan beberapa pemimpin PKR dengan hasrat menyertai parti berkenaan.

"Takdalah, saya berjumpa dengan semua... saya berjumpa dengan Umno, Bersatu, Amanah, PKR, tetapi hanya perjumpaan biasa, tiada perjumpaan serius seperti yang dimaksudkan itu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika dihubungi mengesahkan Hasnul sudah dipecat sejak Disember tahun lalu.

"Sudah secara automatik (dipecat) selepas beliau beralih sokongan masa perubahan Menteri Besar," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Hasnul Zulkarnain dipecat atas dakwaan berperanan menggulingkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Disiarkan pada: March 23, 2021 @ 6:12pm
d