mutakhir

Pengarah yayasan di Terengganu direman 7 hari [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pengarah sebuah yayasan di Terengganu direman tujuh hari untuk membantu siasatan menerima suapan berkaitan projek usahasama bagi pengeluaran pelitup muka yang dianggarkan bernilai RM9 juta.

Lelaki berusia 55 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima suapan daripada pengarah syarikat sebagai balasan mencadangkan pelaburan usahasama dengan syarikat berkenaan untuk pengeluaran pelitup muka.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 Mac depan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Lelaki itu yang dibawa ke mahkamah dengan memakai baju lokap SPRM ditahan di rumahnya pada 4.30 petang semalam.

Semalam, seorang penjawat awam dan dua pengarah syarikat direman tujuh hari sehingga 29 Mac ini membantu siasatan berkaitan projek yang sama.

Penjawat awam berusia 59 tahun bersama dua pengarah syarikat berusia 49 dan 51 tahun itu dipercayai menerima serta memberi suapan sebagai balasan mencadangkan pelaburan itu dalam usahasama dengan syarikat berkenaan untuk pengeluaran produk pelitup muka pada tahun lalu.

Disiarkan pada: March 24, 2021 @ 12:25pm
d