mutakhir

Peluang pekerjaan untuk golongan OKU [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Berilah peluang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk bekerja. Janganlah pandang rendah kepada kami," kata K Hima Kales Sri, 24, dari Shah Alam.

Gadis yang mempunyai masalah fizikal itu berkata, sejak menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Pengurusan di sebuah kolej swasta dua tahun lalu, sudah beberapa kali dia menghadiri temu duga pekerjaan namun sehingga kini belum ditawarkan bekerja.

"Pernah saya pergi temu duga, orang pandang lain, mungkin sebab keadaan saya (OKU). Ada juga majikan yang tak mahu ambil pekerja OKU.

"Berikutan itu, saya belum lagi dapat kerja dan sekarang saya sedang mengikuti satu kursus di ibu kota.

"Apabila dapat tahu ada Mini Karnival Penjana Kerjaya hari ini, saya datang untuk mencari peluang kerja," katanya ketika ditemui dalam Mini Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia Untuk OKU di Wisma Perkeso di sini, hari ini.

Hima Kales antara 173 calon mendaftar dalam karnival yang dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membantu golongan OKU mendapat pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka, sekali gus meningkatkan penyertaan golongan itu dalam pasaran pekerjaan tempatan.

Menurut Hima, dia berharap diterima bekerja seperti orang normal lain dan mahu menanggung keluarga serta hidup berdikari.

Selain itu, Mohd Alif Aiman, 22, yang juga OKU fizikal berkata dia menghadiri sesi temu duga berkenaan untuk mencari peluang kerja lebih baik sekali gus menambah pendapatan diri.

Dia yang kini bekerja sebagai pembantu koperasi berkata, mini karnival anjuran Perkeso amat baik kepada golongan OKU mencari kerja selain membolehkan mereka menimba ilmu mengenai kerjaya melalui latihan dan kaunseling yang disediakan sepanjang karnival berlangsung.

Bagi Lam Wei Lip, 42, yang diberhentikan kerja susulan pandemik Covid-19 pada Januari lalu berkata, karnival itu membuka peluang untuknya kembali bekerja.

"Program ini bukan saja menawarkan peluang pekerjaan, malah calon yang hadir turut diberi pendedahan awal bagi menghadapi proses temu duga dan kemahiran komunikasi," katanya yang mempunyai masalah pertuturan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sebanyak 659 jawatan kosong ditawarkan khusus buat golongan OKU oleh lapan majikan dengan tawaran gaji antara RM1,200 sehingga RM2,000.

"Majikan yang menggajikan pekerja OKU atau golongan rentan, mereka layak menerima bayaran insentif sehingga RM36,000 bagi tempoh maksimum enam bulan.

"Bagi meningkatkan kemahiran pekerja ini, majikan boleh menghantar mereka menjalani latihan yang mana yuran latihan antara RM4,000 hingga RM7,000 disediakan di bawah program ini," katanya.

Justeru, beliau menggesa majikan di negara ini mengambil pekerja OKU dan memohon Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0.

Disiarkan pada: March 24, 2021 @ 2:59pm
d