mutakhir

Kerajaan cadang bina kompleks APM [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Bangi: Kerajaan meneliti cadangan pembinaan kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bakal menjadi pusat pemindahan sementara untuk penduduk terkesan akibat bencana.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu dalam Rolling Plan 2 menerusi Rancangan Malaysia ke-12.

Beliau berkata, ia membabitkan pembinaan kompleks pejabat dan pusat latihan di Perak, Sabah serta Sarawak.

"Kerajaan berharap APM dapat terus memainkan peranan untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat setempat dalam menghadapi sebarang bentuk bencana dan kecemasan di peringkat negeri, daerah sehingga ke akar umbi.

"Langkah ini dapat memastikan mereka bersedia bertindak sebagai first responder apabila berdepan dengan situasi kecemasan seperti bencana atau kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-69 dan Perasmian Ibu Pejabat APM, di sini, hari ini.

Sambutan hari ulang tahun itu bertemakan 'Perlindungan Awam Mapan Menyelamatkan Ekonomi Negara'.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab.

Muhyiddin berkata, kerajaan komited untuk memartabat peranan dan fungsi APM serta memastikan kebajikan warganya sentiasa terbela menerusi Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, pelbagai langkah proaktif akan terus diambil bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan APM.

"Antara usahanya adalah dengan memperluas operasi kecemasan dan bencana yang meliputi operasi khas bersepadu merentasi agensi.

"Langkah ini juga bertujuan memerangi pandemik Covid-19 khususnya stesen-stesen atau pusat kuarantin, kawalan sempadan serta menerusi program pemerkasaan komuniti," katanya.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut melancarkan sistem TRAC APM, satu inisiatif pendigitalan yang dilaksana agensi itu selaras usaha kerajaan mentransformasikan pendigitalan negara.

Katanya, kerajaan juga melakukan penambahbaikan atau penstrukturan semula jawatan tetap di pejabat-pejabat negeri dan daerah melalui Sekretariat Pengurusan Bencana

"Saya difahamkan kini hanya terdapat 578 pegawai yang memegang jawatan tetap bagi pengurusan bencana di lapangan," katanya.

Muhyiddin berkata, sepanjang pandemik Covid-19, APM sudah mencurahkan khidmat bakti dan menggalas tanggungjawab yang besar sebagai barisan hadapan dalam membantu usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak ini.

"Saya maklum ramai dalam kalangan warga APM yang sudah dan akan digerakkan khususnya ke kawasan luar bandar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini sedang giat dijalankan. Inilah termasuklah membantu masyarakat setempat untuk melakukan pendaftaran vaksin," katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2021 @ 4:29pm
d