mutakhir

Kasih ibu temani anak OKU

Oleh BERNAMA

Padang Besar: Walaupun usianya sudah mencecah 83 tahun, namun seorang ibu warga emas, Embon Abdullah, tidak pernah merungut keletihan menemani anak lelakinya yang cacat penglihatan, untuk mencari rezeki.

Malah beliau tetap bersyukur kerana anaknya itu mampu berdikari tanpa meminta kepada sesiapa, biarpun dalam keadaan ekonomi tidak menentu akibat penularan wabak Covid-19.

"Selagi makcik ada tenaga dan kudrat untuk bergerak, makcik tidak jemu menemani Roslan keluar memasarkan hasil kraftangan yang diusahakannya," katanya kepada Bernama di rumahnya di Kampung Beseri Dalam, Jalan Padang Melangit dekat sini, baru-baru ini.

Roslan Bidin, 49 adalah anak bongsu dari dua orang anak hasil dua perkahwinan Embon.

"Kalau orang tengok Roslan, orang tidak akan kata dia buta, kerana dilihat matanya celik seperti mata orang biasa, tetapi anak makcik tu memang cacat penglihatan," katanya.

Menurut Embon, peringkat awal anaknya itu boleh juga melihat walaupun secara kabur, tetapi kini penglihatannya semakin merosot hingga kalau hendak berjalan terpaksa mengguna tongkat atau dipimpin.

Embon berkata, anaknya itu mula membuka bengkel kraftangannya pada tahun 1999 dan hasil kraf yang dibuatnya itu dijual di majlis-majlis tertentu, termasuk semasa diadakan sambutan Hari Kraf Kebangsaan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Kuala Lumpur.

"Kerjayanya sebagai pengusaha kraftangan menjadi lebih mudah, apabila Roslan yang tinggal bersama ibunya menerima peruntukan RM10,000 dari Jabatan Pertanian Negeri Perlis untuk membina sebuah bengkel dekat rumahnya," katanya.

Katanya, hasil kraftangan yang diusahakan itu dipasarkan seminggu dua kali di Pasar Tani Sena Indah, Kangar pada hari Sabtu dan Ahad dan pada hari Isnin, Rabu atau Khamis pula Embon menemani anaknya berniaga di Medan Selera Pasar Besar Kangar, hari Jumaat perniagaan dijalankan di bengkel.

Sementara itu, Roslan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ibunya yang sentiasa menemani dan memberi semangat, untuk beliau meneruskan kerjaya sebagai pengusaha bengkel kraftangan.

Katanya, beliau pernah meminta ibunya berehat tanpa perlu keluar menemaninya memandang usianya yang semakin tua, tetapi ibunya tidak sampai hati membiarkan beliau sendirian dalam keadaannya yang cacat itu.

Disiarkan pada: March 26, 2021 @ 1:11pm
d