mutakhir

KTMB lancar pas bulanan untuk pelajar, OKU [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan Pas Perjalanan Bulanan Tanpa Had RM5 (MyRail5) kepada pelajar sekolah dan golongan orang kurang upaya (OKU) bagi meringankan beban mereka yang menggunakan perkhidmatan kereta api di semenanjung termasuk di Sabah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, skim diperkenalkan ini memberi impak yang besar kepada rakyat terutama yang menggunakan perkhidmatan kereta api seperti komuter di utara termasuk timur membabitkan Pahang dan Kelantan.

Menurutnya, antara perkara yang penting adalah usaha untuk menambah baik dan menjaga kebajikan mereka yang bersandarkan kepada perkhidmatan ini sebagai mod pengangkutan utama.

"Ada pelajar yang tidak ada cara lain dan terpaksa bergantung kpeada perkhidmatan kereta api dan skim ini juga turut dilaksanakan di Sabah.

"Kita sudah membuka pendaftaran pada 27 Disember lalu dan akan berkuatkuasan setahun di mana akan dipantau dari segi prestasinya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pas Perjalanan Bulanan Tanpa Had RM5 (MyRail5) di Kl Sentral, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin.

Ka Siong berkata, murid tahun satu hingga tingkatan enam dan OKU digalakkan untuk mendaftar dan menikmati diskaun itu dengan hanya membayar RM5 sebulan.

Setakat ini 240 pengguna sudah berdaftar dan sudah mula menggunakannya bermula 1 Januari lalu namun dianggarkan berlaku peningkatan selepas sekolah dibuka April ini.

Myrail5 boleh digunakan mengikut Sektor KTM Komuter Lembah Klang, KTM Komuter Utaara dan tren KTM Intercity Shuttle Timuran antara Kuala Lipis-Tumpat termasuk perkhidmatan tren Sabah.

Disiarkan pada: March 26, 2021 @ 2:02pm
d