mutakhir

Menang RM20,000 kerana cipta katil unik

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Inovasi ciptaan Katil Berdiri (Standing Bed) Hospital Tengku Anis Pasir Puteh, Kelantan, berjaya meraih Anugerah Perdana Inovasi 2020 Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, tadi.

Inovasi dihasilkan enam kakitangan hospital itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan piala pusingan yang disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sempena Sambutan Hari Inovasi 2020 KKM.

Pegawai Pemulihan Fisioterapi Hospital Tengku Anis yang juga ketua kumpulan itu, Norfatanah Abdullah Sani, berkata, inovasi itu bertujuan membantu pesakit kanak-kanak istimewa seperti Cerebral Palsy, Spina Bifida, Sindrom Down, Delay Development dan Hydrocephalus yang memerlukan rawatan fisioterapi bagi melatih pesakit untuk berdiri.

Katanya, inovasi itu dihasilkan sejak 2015 dan rawatan dapat diberikan dengan lebih sistematik, cekap dan menjimatkan masa rawatan selain meningkatkan produktiviti kerja.

Katanya, inovasi itu juga dapat memberi keselesaan kepada pesakit dan membantu meringankan beban keluarga pesakit.

"Katil berdiri ini penting kepada pesakit untuk mengelakkan komplikasi kesihatan berikutan kaedah rawatan menggunakan badan petugas dan bola gim untuk menyokong pesakit pada posisi berdiri," katanya.

Selain Norfatanah, inovasi itu dihasilkan bersama pegawai farmasi, Masnor Md Daud dan tiga pembantu tadbir iaitu Rosliza Isahak, Zulkifli Yunus dan Nazri Ghazali Azmi.

Sebanyak 44 projek menyertai inovasi Anugerah Inovasi KKM 2020 membabitkan empat kategori.

Norfatanah berkata, katil berdiri itu dihasilkan daripadaq bahan 'stainless steel' ringan, kukuh, tahan karat serta sesuai untuk pesakit berusia 10 hingga 18 tahun dengan berat badan maksimum 40 kilogram.

Katanya, katil berdiri itu mudah digerakkan, boleh dilipat dan mudah dikendalikan oleh seorang pengendali serta mampu dimiliki dengan kos sekitar RM5,000.

"Kajian awal mendapati sebelum inovasi ini dihasilkan menunjukkan purata 67 peratus pesakit dan penjaga menyatakan kaedah rawatan sekarang adalah sukar dan tidak mencapai kepuasan piagam pelanggan Unit Fisioterapi Hospital Tengku Anis.

"Inovasi dihasilkan ini memberi kepuasan kepada pesakit dan penjaga kerana ia lebih sistematik, cekap serta selamat," katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2021 @ 7:27pm
d