mutakhir

Maut dihempap runtuhan tanah

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Pemandu jentolak maut akibat tertimbus tanah ketika melakukan kerja merata dan mengorek lereng bukit berdekatan Kampung Ulu Tawar, Mukim Bakai, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, jentera dikendalikan mangsa, Muhamad Firdaus Adnan, 20, sedang melakukan kerja meratakan tapak bagi pembinaan rumah penduduk berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tawar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5 petang sebelum jentera bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling tiba di lokasi pada 5.42 petang.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati berlaku runtuhan tebing tanah di kawasan terbabit dan mangsa yang mengendalikan jentolak sudah dikeluarkan penduduk kampung yang menyedari kejadian.

"Ketika kejadian, mangsa sedang mengendali jentolak dan melakukan kerja merata sebelum tebing tanah runtuh secara tiba-tiba.

"Mangsa kemudian terhantuk pada bahagian pemijak jentolak dan terdapat tanah menimbus bahagian badan mangsa," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, berikutan itu mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia pihak ambulans yang tiba di lokasi.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 7.03 malam.

"Pihak bomba berhadapan sedikit kesulitan dalam operasi ini berikutan jarak antara BBP Baling ke lokasi adalah sejauh 42 kilometer," katanya.

Sementara itu, penduduk yang juga saksi kejadian dikenali sebagai Abdul Shukur berkata, ketika kejadian cuaca adalah cerah sebelum mereka terdengar bunyi kuat akibat runtuhan tanah.

Katanya, sebelum kejadian, pemandu jentolak dilihat sedang mengisi tanah ke atas lori dan mengorek kawasan bertebing tinggi.

"Pemandu jentolak itu mungkin sedar tebing tanah akan runtuh pada bila-bila masa menyebabkan dia memberhentikan kerja mengorek dan cuba menyelamatkan diri.

"Dia sudah turun dari jentolak sebelum tanah runtuh, kami kemudian beramai-ramai membantu mengorek dan mengeluarkan dia dari timbunan tanah," katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2021 @ 8:19pm
d