mutakhir

Geng upahan ceti haram tersungkur

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Sengaja baling bom api untuk menakut-nakutkan beberapa individu yang kononnya meminjam wang daripada ceti haram (Along).

Itu tindakan empat lelaki yang akhirnya berjaya dijejaki dan dicekup polis di Batu Berendam dan di Taman Merdeka, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang lelaki berusia 27 tahun mendakwa rumahnya dibaling bom molotov awal Januari lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tidak pernah membuat sebarang pinjaman wang daripada Along atau terbabit dengan jenayah.

"Selepas kejadian itu, terdapat tiga lagi kejadian dengan modus operandi sama dilaporkan di daerah Melaka Tengah.

"Bertindak atas maklumat risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), polis menangkap seorang lelaki di parkir pasar raya di Batu Berendam kira- kira jam 3 petang, Rabu lalu.

"Ekoran tangkapan itu, beberapa siri serbuan dijalankan dan polis berjaya menahan tiga lagi suspek di sekitar Taman Merdeka. Kesemua mereka berusia antara 38 hingga 60 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, tadi.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mendapati kumpulan ini terbabit dengan sindiket Along dan bergiat aktif sejak 2019 dengan menyasarkan rumah peminjam yang tidak membayar hutang.

"Selain rumah peminjam, suspek turut menyasarkan rumah jiran-jiran yang tiada kaitan untuk mencetuskan kegusaran serta memalukan mangsa.

"Difahamkan mereka mengambil upah daripada Along lain dengan kadar bayaran RM200 hingga RM300 bagi perbuatan simbah cat dan RM500 bagi perbuatan khianat dengan api," katanya.

Abdul Majid berkata, kumpulan ini hanya berinteraksi melalui 'alam maya' dengan Along termasuk menerima tugas dan arahan sebelum suspek melakukan perbuatan khianat.

"Susulan penahanan kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan empat kes khianat api dan 17 simbah cat. Turut dirampas sebuah kenderaan, 14 botol minuman keras, empat nombor pendaftaran kenderaan serta lima buah telefon bimbit pelbagai jenis," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan (KK) dan 427 KK.

Disiarkan pada: March 26, 2021 @ 9:07pm
d