mutakhir

Terima kasih bantu Putra Airell Asraq

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Alhamdulillah..ramai yang menghubungi saya bertanyakan mengenai keadaan Airell dan datang menziarahinya sambil menitipkan doa," kata ibu kepada Putra Airell Asraq Mohd Aqimie, 8, kanak-kanak lelaki yang menghidap kanser hati tahap empat.

Nurul Asyikin Razak, 32, selepas keadaan anaknya disiarkan di Harian Metro semalam berkata, dia dihujani panggilan telefon dan ada pihak menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebannya.

Menurutnya, sejak anaknya diserang kanser, dia berhenti kerja dan bergantung kepada suami yang bekerja sebagai mekanik.

"Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang sangat prihatin dengan nasib kami. Dalam saya buntu memikirkan jalan untuk membeli susu khas buat Airell, saya tergerak hati untuk memeriksa akaun bank dan sangat terkejut melihat ada sejumlah wang yang dimasukkan.

"Alhamdulillah, cukup untuk menampung perbelanjaan susu khas Airell yang mencecah RM1,000 sebulan kerana dia hanya bergantung kepada susu sahaja dan tidak mampu menelan makanan lain.

"Sumbangan itu juga dapat menampung kos rawatannya untuk tempoh tertentu dan apa yang paling kami harapkan adalah doa semua supaya ada keajaiban yang berlaku buat Airell walaupun ia agak mustahil," katanya.

Nurul Asyikin Razak berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu kelihatan ceria dan tidak menunjukkan kesakitan di hadapan tetamu yang datang menziarah meskipun kondisi kesihatannya semakin merosot.

"Airell sepatutnya menerima rawatan kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada 24 Mac lalu namun kami meminta ia ditangguhkan sebentar memandangkan dia baharu keluar dari wad minggu lalu.

"Airell sudah menjalani rawatan kimoterapi lebih dari 30 kali dan untuk yang terbaru tarikhnya ditunda pada Ahad depan namun doktor berpesan jika keadaannya semakin lemah, Airell perlu dibawa ke hospital dengan segera.

"Sejak dibenarkan keluar dari hospital Selasa lalu, Airell masih lemah namun dia enggan menunjukkan rasa sakit kepada kami dengan tetap berjalan dan adakalanya bermain di luar rumah tapi tidak lama selepas itu dia mengadu sakit sendi kaki," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kisah Airell yang menghidap kanser hati sejak berusia dua tahun yang dipaparkan semalam mengundang pilu dalam kalangan pembaca.

Disiarkan pada: March 26, 2021 @ 9:39pm
d