mutakhir

Gubal undang-undang wajibkan calon wanita dalam pilihan raya

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Satu undang-undang khusus yang mewajibkan penyertaan wanita sebagai calon dalam pilihan raya perlu digubal.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, semua parti politik, khususnya Umno, perlu untuk menggubal undang-undang bagi melaksanakan satu dasar yang mewajibkan kuota 30 peratus penyertaan wanita dalam pilihan raya.

"Umno sebagai parti yang matang harus menjuarai agenda pemerkasaan ini.

"Calon wanita perlu diletakkan di tempat yang boleh menang. Jangan letak kawasan confirm (pasti) kalah. Pelaksanaannya mesti jujur bukan sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya ketika penggulungan Ucapan Dasar Perhimpunan Wanita Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (PWTC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noraini berkata, penyertaan wanita dalam kepimpinan politik masih jauh ke belakang iaitu hanya 10.8 peratus sahaja berbanding lelaki.

Beliau berkata, wanita adalah tonggak parti yang sentiasa bekerja keras dan memberi komitmen terhadap perjuangan parti terutama ketika pilihan raya.

"Alhamdulillah, Umno semakin mengiktiraf peranan wanita. Ia dibuktikan apabila parti meminda perlembagaan yang mengangkat wanita daripada Pergerakan Wanita Umno dan kini dikenali sebagai Wanita Umno Malaysia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Umno terbukti menjadi ejen penyatuan kepada rakyat Malaysia apabila sehingga kini masih menjadi rujukan rakyat walaupun kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

"Jika orang mahukan bantuan, pemimpin Umno yang dicari... rakyat masih rujuk kepada kita, masih mencari kita. Ini kerana kita mempunyai sejarah panjang dalam memberi khidmat kepada rakyat.

"Rakyat merindui corak pentadbiran kita. Rasa ini perlu kita kekalkan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Justeru beliau berpesan kepada semua ahli Wanita Umno di setiap bahagian dan cawangan untuk memantapkan gerak kerja serta bersiap siaga hadapi PRU Ke-15.

Disiarkan pada: March 27, 2021 @ 6:57pm
d