mutakhir

Remaja lari rumah, ditangkap berkhalwat

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang dipercayai lari dari rumahnya di Pendang, akhirnya dicekup berkhalwat dengan seorang lelaki di sebuah bilik sewa di Lorong Titi Siam, Jalan Teluk Wanjah, di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, berdasarkan maklumat awam yang diterima 2.15 pagi tadi, sepasukan anggota penguat kuasa Jaik melakukan serbuan di bilik sewa berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dan remaja perempuan dalam bilik berkenaan.

"Hasil soal siasat mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen atau bukti mempunyai hubungan suami isteri atau mahram sah.

"Oleh yang demikian, perbuatan mereka tinggal berdua-duaan di bilik sewa itu menimbul syak mereka melakukan maksiat dan ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Radzi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, pasangan itu dipercayai tinggal di bilik sewa itu sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, remaja perempuan itu dipercayai melarikan diri dari rumah.

"Lelaki itu juga berusia 18 tahun dan kedua-dua mereka berasal dari Pendang.

"Lelaki itu bekerja sebagai pemotong rumput manakala remaja perempuan itu bekerja di kedai barangan terpakai," katanya.

Radzi berkata, pasangan itu kemudian dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kota Setar untuk diambil keterangan.

Katanya, bapa remaja perempuan itu kemudian datang ke pejabat agama untuk menjamin anaknya manakala lelaki itu dibebaskan dengan jaminan keluarga.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak melakukan maksiat.

"Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2021 @ 7:22pm
d