mutakhir

Maqis rampas 28 tan kentang tanpa label

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 28 tan kentang bernilai RM 28,972.15 menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini.

Pengarah Maqis Johor Nur Afifah A Rahman berkata, sebuah kontena yang membawa kentang dari Bangladesh itu ditahan dalam pemeriksaan pada 11.15 pagi, kelmarin.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pengimport melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa, iaitu tiada label yang ditampal pada setiap bungkusan kentang.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM75,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengimport dan pengeksport dinasihatkan supaya sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia.

Disiarkan pada: March 27, 2021 @ 9:39pm
d