mutakhir

Reezal Merican akur jika keputusan parti

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican sedia menarik diri daripada jawatan dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika diminta berbuat demikian oleh pimpinan Umno.

Beliau berkata, gesaan Pengerusi Lembaga Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah agar ahli Umno meletak jawatan yang dipegang adalah bersifat peribadi.

"Saya orang parti. Saya akan patuh dengan keputusan parti.

"Saya jarang berikan pandangan peribadi apabila diminta sebab saya tak mahu dilihat memberikan pandangan yang boleh membawa berlaku perpecahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat kunjungan di Bilik Media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Reezal berkata, buat masa ini keputusan parti adalah hubungan kerjasama ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Terdahulu, Tengku Razaleigh dilaporkan berkata, pemimpin Umno yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri di bawah kerajaan PN digesa segera meletakkan jawatan.

Begitu juga jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lantikan PN.

Disiarkan pada: March 28, 2021 @ 5:41pm
d