mutakhir

KeTSA anjur kursus untuk malim gunung

Oleh Mohd Rafi Mamat

Cameron Highlands: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyediakan peruntukan sebanyak RM9 juta untuk mengadakan program latihan bagi meningkatkan kemahiran Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Timbalan Menterinya, Ali Biju berkata, kerajaan mengiktiraf profesion MGP yang akan menjadi penggiat aktiviti pelancongan kembara di negara ini sebagai profesion alternatif golongan belia termasuk masyarakat Orang Asli.

Menurutnya, kursus MGP akan dikendalikan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Katanya, sebanyak 20 siri kursus untuk MGP akan diadakan pada tahun ini.

"Latihan semula atau 'reskill' dan 'upskill' akan diadakan secara berperingkat dengan harapan semua MGP memiliki kemahiran yang lengkap ketika membawa pelancong mendaki.

"Saya difahamkan terdapat lebih 3,000 orang sudah berdaftar untuk menyertai kursus itu yang akan diadakan di beberapa negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Mossy Forest dan Gunung Irau di sini, semalam.

Beliau berkata, latihan ekopelancongan turut membabitkan agensi dibawah KeTSA seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Mineral dan Geosians (JMG) yang memiliki kepakaran masing-masing.

Disiarkan pada: March 28, 2021 @ 11:32pm
d