mutakhir

Polis Melaka bakal terima 31 pacuan empat roda

Oleh BERNAMA

Melaka: Polis Melaka bakal menerima 31 Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 (MT) bernilai lebih RM4.8 juta secara berperingkat pada tahun ini bagi menggantikan Land Rover lama dan uzur.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, bagi fasa pertama, pihaknya menerima 16 unit kenderaan itu bernilai lebih RM2.5 juta untuk kegunaan Gunasama Operasi.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak enam unit akan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, masing-masing empat di IPD Alor Gajah dan Jasin manakala Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka (2).

"Bagi fasa kedua dalam tahun ini juga, polis Melaka akan menerima 15 lagi Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 (MT) bagi menggantikan baki Land Rover terlibat.

"Justeru, kita berharap dengan penggantian kenderaan baharu ini, perkhidmatan yang akan diberikan di peringkat balai atau daerah akan lebih cekap dan dapat memuaskan hati masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Penutup Kursus Asas Perlindungan Keselamatan Orang Kenamaan dan Pengiring Rapat IPK Melaka Tahun 2021, di sini, hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman itu, turut berlangsung penyerahan 16 Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 (MT) kepada wakil kontinjen dan IPD di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata, polis sentiasa meningkatkan aspek keselamatan terhadap orang kenamaan menerusi penganjuran Kursus Asas Perlindungan Keselamatan Orang Kenamaan dan Pengiring Rapat dalam kalangan anggota dan pegawainya.

Beliau berkata, kursus yang dikendalikan anggota dari Unit Tindakan Khas (UTK) itu berlangsung dua minggu bermula 19 Mac lalu bagi meningkatkan kemahiran anggota dan pegawai terpilih dalam menjalankan tugas.

"Kemahiran pegawai atau anggota kita perlu supaya keselamatan orang kenamaan sentiasa terjamin sepanjang berada di negeri ini memandangkan Melaka, negeri pelancongan yang menjadi tumpuan orang kenamaan dari segenap pelosok negara," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2021 @ 5:27pm
d