mutakhir

Sasar lahirkan 200 banduan jadi petani moden

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Jabatan Pertanian Negeri Johor mensasarkan untuk melahirkan 200 banduan yang berkemahiran dalam bidang penanaman sayuran dan buah-buahan di Penjara Kluang, di sini, dalam tempoh dua tahun.

Pengarahnya, Alang Mad Daud Dawan berkata, usaha dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Penjara Negeri Johor bermula sejak November tahun lalu.

Katanya, sehingga kini pihaknya sudah berjaya berjaya melahirkan 23 banduan dengan kemahiran berkenaan.

Menurutnya, pihaknya mengutamakan tanaman cili dan timun yang mempunyai pasaran baik selain penghasilan produktif.

"Hasil pendapatan diraih, disalurkan kembali kepada institusi berkenaan. Jabatan Pertanian bukan sahaja mengajar penghuni penjara menanam dan menuai hasil tanaman sahaja sebaliknya diajar menghasilkan sayuran yang memenuhi syarat Amalan Pertanian Baik (MyGap) supaya ia selamat dimakan.

"Buat masa ini kaedah tanaman dijalankan secara konvensional tetapi untuk masa akan datang kita mengajar mereka kaedah tanaman sayuran terutamanya cili, dengan menggunakan fertigasi.

"Tuaian pertama ini berjaya menghasilkan 200 kilogram cili dan dua tan timun," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika Majlis Penyampaian Sijil Asas Pertanian Kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Johor dan Jabatan Penjara Malaysia di di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kluang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Johor, Abd Wahab Kassim.

Alang berkata, pihaknya merancang menjalankan tanaman nanas untuk penghuni penjara terbabit selain bakal memperluaskan kerjasama itu dengan Penjara Simpang Renggam.

"Tujuan kita mendidik dan mengajar penghuni penjara ini dengan ilmu pertanian adalah untuk menjadikan mereka ini mempunyai pengalaman sekali gus dapat menggunakannya apabila bebas kelak," katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2021 @ 7:26pm
d