mutakhir

KPWKM komited perkasa golongan wanita [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri melalui penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga bagi membincang serta menyalurkan isu berkaitan wanita.

Timbalan Menterinya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan berkenaan dianggotai oleh Exco berkaitan di setiap negeri bertujuan untuk memperkasakan pembabitan golongan wanita dan kumpulan sasar.

Katanya, golongan sasar yang diberi tumpuan termasuk warga emas, B40, dan orang kurang upaya (OKU) bagi meningkatkan sosio ekonomi mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Kerjasama strategik ini membabitkan 13 bidang kerjasama antara KPWKM dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berupa aspek latihan dan bimbingan, pembiayaan, akses pasaran serta perkongsian data.

"Kerajaan begitu komited mempergiatkan pelbagai usaha dan inisiatif bagi menjamin kesejahteraan serta keselamatan rakyat selain menyokong pemulihan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Penutup Karnival Kerjaya Wanita 2021 Peringkat Negeri Kelantan sempena Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Dr Zurina Abdul Hamid.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah berkata, sebanyak 700 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival Kerjaya Wanita Kelantan yang diadakan selama dua hari bermula semalam.

"Kami amat memahami situasi mereka yang terjejas akibat Covid-19 dan berharap peluang pekerjaan yang ditawarkan ini dapat membantu dalam menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara," katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2021 @ 5:38pm
d