mutakhir

Sultan Sharafuddin sukacita hospital awam bakal dibina di Kapar

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa sukacita dengan keputusan Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan sebuah hospital awam di Kapar.

Selangor Royal Office dalam satu kenyataan, hari ini berkata, baginda menerima makluman itu daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu pertemuan di Istana Bukit Kayangan, di sini, semalam.

Turut berangkat, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Selain Dr Adham, baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman di majlis itu.

Baginda dimaklumkan, perancangan pembinaan hospital itu sudah lama dibuat bagi menampung peningkatan ketara bilangan pesakit di Selangor khususnya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) , Klang.

Pada pertemuan itu, baginda turut mencadangkan kepada Dr Adham agar Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan untuk menaik taraf hospital awam di kawasan luar bandar.

"Cadangan baginda itu agar rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan dan rawatan kesihatan yang lebih baik.

"Baginda diberi taklimat ringkas mengenai situasi semasa di hospital awam kerajaan dalam menangani kes berkaitan wabak Covid-19," katanya.

Sehubungan itu, baginda sekali lagi menyeru rakyat agar mendapatkan suntikan vaksin mengikut jadual ditetapkan kerajaan dan tidak ragu-ragu meskipun perlu mengambil suntikan di bulan Ramadan.

Disiarkan pada: March 30, 2021 @ 9:15pm
d