mutakhir

Imej negara tercalar kerana isu Top Glove - Saravanan

Oleh Ruwaida Md Zain

Banting: Kerajaan mengakui imej negara tercalar susulan isu sarung Top Glove yang berdepan sekatan perdagangan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP).

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, masih ada ruang untuk pihak Top Glove membuat rayuan kepada US CBP.

"Masih ada ruang untuk Top Glove merayu dan kita kena buat rayuan...sekiranya mereka tidak bersalah, saya rasa mereka tidak patut dihukum.

"Pada masa sama, saya tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja jika isu membabitkan penderaan terhadap pekerja.

"Negara kita pernah dijajah British dan masyarakat India menjadi peladang, tetapi tidak pernah dianiaya seperti ni," katanya ketika diminta mengulas tindakan US CBP merampas sarung tangan pakai buang dikeluarkan Top Glove kerana syarikat itu dipercayai menggunakan buruh paksa.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perjumpaan Bersama Pekerja-Pekerja Ladang Sime Darby Plantation Berhad anjuran Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Dewan Sri Sungai Buaya, Banting, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, media melaporkan peguam Top Glove Corp Bhd di Amerika Syarikat (AS) dalam proses perbincangan dengan wakil CBP AS untuk mendapatkan penjelasan mengenai larangan import terkini dikeluarkan CBP terhadap semua sarung tangan pakai buang dari kilang Top Glove di Malaysia.

Disiarkan pada: March 30, 2021 @ 10:33pm
d