mutakhir

Kantoi curi balak buat kayu bergergaji

Oleh Mohd Rafi Mamat

Jerantut: Impian empat lelaki meraih pendapatan tambahan secara salah dengan menghasilkan kayu bergergaji tanpa lesen dalam hutan tanah kerajaan mukim Ulu Tembeling, gagal selepas mereka ditahan kelmarin.

Empat lelaki berusia antara 27 hingga 58 tahun itu adalah penduduk Ulu Tembeling dan mereka ditahan ketika melakukan aktiviti menghasilkan kayu bergergaji di kawasan Jalan Kampung Samas-Kampung Kuala Sat menghala ke Kampung Mat Daling, di sini.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut, Mohd Zarin Ramlan berkata, kegiatan berkenaan terbongkar selepas rondaan dilakukan di kawasan terbabit dan menemui empat lelaki terbabit yang sedang menghasilkan kayu bergergaji.

Menurutnya, soal siasat dilakukan mendapati kegiatan berkenaan dilakukan tanpa kebenaran atau permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang mana mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

"Pemeriksaan dalam kawasan hutan menemui enam tunggul pokok spesies merbau yang dipercayai ditebang empat lelaki terbabit bagi menghasilkan kayu bergergaji pelbagai saiz.

"Kita juga menemui dua kenderaan pacuan empat roda, mesin memotong kayu berantai dan sebuah lori yang digunakan untuk mereka masuk ke dalam kawasan hutan memindahkan kayu bergergaji. Semua kenderaan berkenaan di sita.

"Permintaan tinggi dan harga yang memuaskan terhadap kayu bergergaji spesies merbau menjadi faktor utama kegiatan mencuri kayu berlaku di daerah ini," katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, pihaknya memandang serius kegiatan menceroboh hutan kerajaan terutama zon penampan taman negara bagi tujuan menebang pokok, tindakan tegas menanti pihak terbabit.

Mohd Zarin berkata, kayu bergergaji spesies merbau mendapat permintaan tinggi untuk kegunaan membuat lantai dan dinding rumah, tiang pagar, termasuk binaan kolam ternakan ikan.

"Kumpulan empat lelaki terbabit mendakwa kayu bergergaji yang dihasilkan untuk kegunaan sendiri bukan

untuk dijual.

"Lelaki terbabit turut mendakwa mereka terpaksa melakukan kerja berkenaan bagi menampung perbelanjaan keluarga terutama selepas tidak dapat kehidupan menoreh getah dan turun ke sungai," katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2021 @ 11:09am
d