mutakhir

4 individu ditahan disyaki rasuah lulus pinjaman

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk bekas presiden yang juga pengarah urusan bank bergelar Datuk kerana disyaki menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman kewangan bernilai RM400 juta kepada sebuah syarikat.

Sumber berkata, kesemua individu yang berusia antara 49 hingga 53 tahun itu ditahan di sekitar Kuala Lumpur lewat petang semalam.

Katanya, mereka ditahan kerana menerima rasuah yang dianggarkan kira-kira RM8 juta dalam matawang Singapura sebagai komisyen bagi meluluskan permohonan pinjaman kewangan untuk projek yang dipercayai tidak wujud.

"Ini adalah suatu perbuatan licik dengan kerjasama orang dalam iaitu dengan sengaja mewujudkan projek yang tidak sah dengan tujuan untuk memohon pinjaman kewangan.

"Selepas pinjaman kewangan diluluskan dan wang diperoleh, syarikat yang memohon ditutup dan projek tidak dilaksanakan.

"Bekas presiden merangkap pengarah urusan bank berkenaan dikatakan memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman itu tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan disebabkan rasuah diterima," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Mereka sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 2 April di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah," katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2021 @ 5:57pm
d