mutakhir

Tiada kompromi bagi anggota JIM lindungi Geng Nicky

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Belum ada anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dilaporkan terbabit dalam melindungi kegiatan jenayah terancang Geng Nicky.

"Jika ada tangkapan, saya akan dimaklumkan. Setakat ini tidak ada (makluman). Jika ada yang terlibat, kita tidak akan berkompromi," kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Menurutnya, jabatan itu juga sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melengkapkan siasatan sekiranya ada anggotanya dikaitkan kegiatan berkenaan.

Khairul Dzaimee ditemui selepas Op Bersepadu di sini, yang berakhir awal pagi hari ini.

PDRM sebelum ini mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa yang dikesan melindungi kegiatan Geng Nicky yang didalangi ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Nick Liow dilapor melarikan diri bersama lapan beg dipenuhi wang tunai selepas didakwa menerima maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 oleh Polis Johor pada 20 Mac lalu.

Terdahulu menerusi 70 serbuan di sekitar Lembah Klang bermula 20 hingga 28 Mac lalu, polis memeriksa 118 individu dan menahan 68 orang selain, merampas wang tunai lebih RM770,000 dan 16 kenderaan mewah bernilai RM6.67 juta.

Disiarkan pada: April 2, 2021 @ 8:45am
d