mutakhir

Jurugambar hina agama Hindu didenda RM15,000

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang jurugambar syarikat produksi dijatuhi hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan memuat naik status jelik menghina agama Hindu dalam Facebooknya, dua tahun lalu.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Zambri Abdul Razak, 54, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Edwin Paramjothy dalam penghakimannya berkata kebebasan bersuara tidak termasuk kebebasan untuk menghina dan merendahkan mana-mana agama serta kepercayaan agama orang lain tanpa dikenakan hukuman.

"Jenayah menghina agama seseorang tidak hanya dilakukan terhadap orang itu tetapi juga terhadap nilai dan fungsi yang diwakili oleh agama dan penganutnya. Agama adalah sesuatu yang peribadi dan sangat dihormati oleh penganutnya.

"Saya juga mempertimbangkan keadaan kesihatannya yang lemah sebagai faktor mitigasi. Walaupun saya berfikiran untuk tidak mengenakan hukuman pemenjaraan dalam kes ini, saya bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya kerana adalah sangat penting keseimbangan yang tepat antara simpati terhadap pesalah dan mempertimbangkan penderitaan dan kesusahan yang ditanggung oleh mangsanya atau kerosakan atas kesalahan jenayah yang dilakukannya kepada masyarakat," katanya.

Beliau menambah selain daripada itu, mahkamah mendapati tidak ada bukti bahawa OKS (orang kena saman) secara berterusan mengulas atau menyiarkan pernyataan keji selanjutnya.

Lelaki itu yang didenda RM8,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan RM7,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua, membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Zamri didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook 'Zamri Bin Abd Razak' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dua komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca seorang pengguna Facebook 'Saravana Kumar' di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju di sini, pada 12.45 tengah hari, 10 Mac 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pada 24 Mac lalu, Zamri didapati bersalah selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Iznina Hanim Hashim manakala Zamri diwakili peguam Mohd Harris Al-Hajj Abdullah.

Disiarkan pada: April 2, 2021 @ 4:10pm
d