mutakhir

Lelaki ditemukan mati dengan kesan kelar, isteri disiasat

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Seorang lelaki ditemukan mati dengan kesan kelar di leher dan tikaman di badan di hadapan rumahnya di Kampung Desa Makmur, Majidee di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, mangsa berusia 20-an itu ditemukan di rumah setinggan tidak bernombor yang terletak di hadapan tempat tinggal mangsa.

Katanya, pihaknya menerima laporan kes berkenaan pada 8.25 pagi dan bergegas ke lokasi.

Menurutnya, pemeriksaan menemukan pemotong kertas dan serpihan mata pisau di tempat kejadian.

"Isteri lelaki berkenaan yang berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan.

"Mayat dihantar ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian 07-2182323.

Disiarkan pada: April 2, 2021 @ 6:00pm
d