mutakhir

Tempah nisan ketika hidup [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Menjelang Ramadan dan Aidilfitri pada setiap tahun, batu nisan dan belindan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai, sekali gus turut memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

Pengusaha, Raja Faizudin Raja Sulaiman, 43, berkata, orang ramai mula menempah batu nisan dan belindan untuk 'dihadiahkan' kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia kira-kira sebulan menjelang Ramadan.

Katanya, kebiasaannya jualan batu nisan dan belindan hanya sekitar sebiji sehari di bulan lain namun kini ia mula meningkat kepada lima biji sehari.

"Saya lihat permintaan batu nisan dan belindan meningkat sebelum Ramadan kerana orang ramai mahu mencantikkan kubur orang tersayang termasuk menukar kepada yang baru.

"Pembuatan batu nisan dan belindan memerlukan kemahiran, kesabaran serta ketelitian tinggi. Ia mengambil masa antara sehari hingga satu bulan bergantung kepada jenis batu yang dikehendaki pelanggan.

"Bagi menyiapkan tempahan, saya dibantu enam pekerja mahir bagi mendapatkan hasil berkualiti seperti dikehendaki pelanggan," katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Sultanah Zainab, di sini, kelmarin.

Menurutnya, dia menawarkan beberapa jenis belindan termasuk trazo, batu, simen, kayu jati dan marmar dengan harga mengikut jenis serta permintaan pelanggan bermula dari RM200 sehingga RM10,000.

Katanya, perkhidmatan memasang batu nisan dan belindan dibuat di seluruh Kelantan dan ada juga pelanggan dari Terengganu dan Pahang.

"Kebanyakan pelanggan membeli untuk ahli keluarga yang meninggal dunia namun ada juga dalam kalangan pembeli yang menempah batu nisan dan belindan untuk persediaan kepada diri sendiri.

"Walaupun tidak ramai yang berbuat demikian, tetapi ada yang beli untuk diri sendiri yang mungkin untuk mengingatkan soal kematian.

"Mereka akan simpan di rumah kerana mudah sekiranya sudah meninggal dunia, ahli keluarga tidak perlu membeli batu nisan dan belindan untuk mereka," katanya.

Raja Faizudin yang mengusahakan perniagaan itu sejak 15 tahun lalu melahirkan kesyukuran kerana semua pelanggan suka dengan hasil kerjanya dan ia memberi kepuasan diri untuk meneruskan perniagaan dalam bidang berkenaan.

"Walaupun membuat batu nisan dan belindan ini dianggap satu bidang yang tidak popular, namun saya mahu meneruskan kerjaya ini untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

"Saya harap lebih ramai golongan muda menceburi dalam perniagaan ini kerana memberi pulangan lumayan," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2021 @ 6:01am
d