mutakhir

Tiada cadangan tangguh sementara program vaksinasi

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Kerajaan tidak bercadang untuk menghentikan atau menangguhkan sementara pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat biarpun terdapat kesan sampingan serius kepada segelintir penerima.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, daripada keseluruhan penerima vaksin itu, hanya 123 kes dilaporkan mendapat kesan sampingan serius hingga memerlukan pemerhatian lanjut dan pakar kesihatan termasuk ditahan di wad.

"Kebiasaannya kesan sampingan vaksin itu seperti demam, lenguh-lenguh badan, muntah dan sebagainya adalah gejala biasa atau ringan, namun bagi kes yang serius seperti yang dilaporkan ianya seperti kesan alergik atau alahan.

"Namun kesemua kes ini kita rujuk kepada pakar kesihatan dan kesemuanya dirawat dengan baik.

"Justeru, setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdapat doktor-doktor akan ditempatkan dan kita juga 'standby' troli (peralatan dan ubat-ubatan) kecemasan sekiranya berlaku kes yang perlu diambil tindakan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Gunting Rambut Percuma, Kolobratif Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Parlimen Bagan Serai di Giat Mara Bagan Serai, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dipetik berkatam sebanyak 25,770 atau 3.5 peratus dari 706,404 penerima vaksin Covid-19 sehingga 31 Mac lalu, mengalami kesan sampingan ringan dan serius.

Mereka yang mengalami kesan serius, dimasukkan ke wad untuk pemantauan lanjut dan kebanyakannya kembali sihat dan dibenarkan keluar dari hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 3, 2021 @ 1:32pm
    d