mutakhir

Potong tangkai durian matang, peram dalam semak

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Polis yakin dapat menyelesaikan kes kecurian durian Musang King yang kerap berlaku di daerah ini terutama di Jementah dengan tertangkapnya lima lelaki, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, lima suspek berusia antara 24 sehingga 50 tahun itu ditahan di sekitar Jementah.

"Suspek ditahan selepas polis menerima laporan daripada pekebun yang kerap kehilangan durian bermutu tinggi sepanjang tahun lalu seperti Musang King.

"Hasil siasatan membawa kepada penahanan semua lelaki terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah dengan mensasarkan kebun durian terpencil. "Mereka akan memotong tangkai durian matang dan memeram buah di kawasan belukar sebelum dijual.

"Pekebun durian yang memasang jaring di bawah pokok turut menjadi sasaran kumpulan ini yang memotong jaring sebelum melarikan buah. Mereka dikesan aktif sejak awal Januari 2020 sehingga Disember 2020," katanya.

Menurutnya, suspek sudah direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi.

Sementara itu, pemilik dusun durian, Abd Rahman Salleh, 64, berkata, kehilangan durian bernilai tinggi di dahan pokok yang dilaporkan pekebun sebelum ini membongkar taktik pencuri itu.

Menurutnya, pencuri memotong tangkai durian yang matang sebelum buah diperam di kawasan semak hingga mengeluarkan bauan.

"Kesan keratan dan penemuan beberapa durian disembunyikan dalam semak membongkar taktik pencuri itu.

"Antara durian yang kerap jadi sasaran ialah Musang King, IOI, duri hitam dan durian saka yang dijual antara RM90 hingga ratusan ringgit setiap kilogram," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2021 @ 5:02pm
d