mutakhir

Pemandu pelancong ke tukang cuci [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Dulu bekerja sebagai pemandu pelancong tetapi kini tukang cuci di kilang.

Itu perubahan besar dalam hidup Mohamad Razi Jamit, 33, selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu yang menghalangnya ke luar negara sekali gus khidmatnya sebagai pemandu pelancong terjejas.

Mohamad Razi cuba bangkit dengan berniaga nasi lemak sebelum bekerja kontrak sebagai tukang cuci di sebuah kilang di samping menawarkan khidmat membersihkan rumah.

Mohamad Razi berkata, dia mula menawarkan khidmat sebagai pemandu pelancong pada 2008 dan minat itu tercetus selepas mengendalikan program kembara ke luar negara sewaktu menuntut di universiti.

"Mulanya secara sambilan saja namun diteruskan kerana ada permintaan dan akhirnya, saya jadikannya (kerjaya pemandu pelancong) sebagai pekerjaan sepenuh masa selepas tamat pengajian.

"Alhamdulillah, ramai menaruh kepercayaan dengan khidmat ditawarkan dan pulangan diterima juga agak berbaloi tetapi pandemik yang melanda seluruh dunia menyebabkan saya tidak dapat bekerja sebagai pemandu pelancong sejak Mac tahun lalu.

"Trip terakhir saya adalah membawa pelancong tempatan ke Russia sebelum kembali ke Malaysia tiga hari selepas pelaksanaan PKP," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berikutan larangan ke luar negara, Mohamad Razi terpaksa mengembalikan semula sebahagian wang yang sudah dijelaskan oleh pelanggan.

"Saya tiada pilihan melainkan memulangkan semula wang pelanggan supaya mereka tidak sangsi dengan saya.

"Demi kelangsungan hidup, saya cuba membantu ibu (Hasimah A Razak, 61) berniaga cuma jualan tidak menentu.

"Kemudian, saya cuba pula menawarkan khidmat mencuci permaidani tetapi hanya bertahan sementara kerana ketiadaan peralatan penting iaitu mesin pengering dan saya pula tidak mampu membelinya disebabkan terlalu mahal," katanya

Memikirkan komitmen bulanan yang perlu dilangsaikan, Mohamad Razi terus berusaha mencari rezeki dengan menawarkan khidmat mencuci rumah.

Katanya, pekerjaan itu sebelum ini dilakukan sepenuh masa tetapi kini secara sambilan sejak dia mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci di sebuah kilang dekat Johor Bahru pada Februari lalu.

"Saya bekerja di kilang itu dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari dan skop tugasan adalah membersihkan ruang pejabat serta tandas.

"Selepas makan tengah hari, saya teruskan pula dengan kerja sambilan sebagai tukang cuci rumah namun ia hanya dilakukan sekiranya ada permintaan.

"Gaji sebagai tukang cuci di kilang hanya RM880 namun saya bersyukur kerana dapat gunakan wang itu untuk membantu ibu," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2021 @ 7:12pm
d