mutakhir

Ungkapan 'abang besar' sebagai tanda hormat - Hishammuddin

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ungkapan 'abang besar' yang digunakan dalam sidang media baru-baru ini bersama rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, adalah sebagai tanda hormat.

Menerusi ciapan di Twitter hari ini, Hishammuddin berkata ungkapan itu bukan merujuk kepada hubungan kukuh dua hala Malaysia-China, memandangkan hubungan berkenaan adalah berdasarkan kepercayaan dan kesaksamaan bersama.

"Menghormati Wang Yi yang lebih tua dan Menteri Luar yang lebih senior, oleh itu 'abang' kepada saya secara peribadi. Menghormati tidak menandakan kelemahan.

"Yakinlah bahawa Malaysia kekal bebas, berprinsip dan pragmatik dari segi dasar luar negara berasaskan kepada nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan serta kesaksamaan,

"Kami akan terus memberikan sumbangan bermakna ke arah masyarakat negara yang adil dan saksama," katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Hishammuddin menggunakan ungkapan itu sebagai satu penghinaan terhadap pendirian negara yang mengamalkan dasar berkecuali.

Menurutnya, penggunaan ungkapan sedemikian tidak sesuai dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Disiarkan pada: April 3, 2021 @ 9:28pm
d