mutakhir

Polis akan siasat aktiviti Neelofa, suami di Langkawi

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Polis akan memanggil selebriti dan juga usahawan terkenal, Neelofa serta suaminya, Haris Ismail untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan aktiviti pasangan pengantin baharu di sini melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, berdasarkan bukti video dan gambar yang dimuat naik di media sosial pasangan itu didapati melanggar SOP.

"Kita sedang tangani kes ini selepas ada gambar aktiviti dan kehadiran beliau (Neelofa) bersama suami (di Langkawi) telah melanggar SOP yang ditetapkan.

"Kita akan ambil tindakan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seksyen K9 Langkawi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dan Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan.

Abdul Hamid berkata, pegawai penyiasat akan mengenal pasti adakah aktiviti yang gambarnya dimuat naik itu sebahagian kegiatannya perniagaannya.

"Mereka kena jawab, tapi gambar itu macam aktiviti santai-santai sahaja... jelas ia tidak boleh dilakukan dan telah melanggar SOP.

"Sebabnya dia datang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Beliau berkata, polis juga akan memanggil saksi yang boleh membantu melengkapkan siasatan kes itu secepat mungkin.

Sementara itu ketika mengulas isu kehilangan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat, beliau berkata, polis masih mengesan kedudukan sebenar usahawan itu.

"Setakat ini belum ada perkembangan terbaharu dan dia masih bersembunyi di luar negara tapi kena ingat jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

"Saya juga hairan ketika di luar negara pun dia masih mencuit hati orang ramai dan saya nasihatkan dia supaya balik dan pergilah mahkamah," katanya.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 12:32pm
d