mutakhir

Tidak serik langgar peraturan tangkap ikan

Oleh Juwan Riduan

Lahad Datu: Sebuah bot tunda yang pernah ditahan kerana melanggar syarat lesen perikanan, dikesan sekali lagi melakukan kesalahan sama di perairan Laut Pulau Sakar di sini, semalam.

Bot nelayan tempatan itu dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika menangkap ikan di kawasan larangan di kedudukan kurang dua batu nautika dari pesisir pantai.

Penolong Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Asisten Superintendan Sudirman Latip Karim berkata, bot terbabit dikesan ketika pihaknya melakukan rondaan Op Benteng Covid-19.

"Hasil pemeriksaan mendapati ia bot sama yang melakukan kesalahan serupa sebelum ini. Susulan itu bot dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sudirman berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan kompaun RM500 kepada pemilik kapal bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua RM1,000 dan kesalahan ketiga RM1,500.

Menurutnya, lesen perikanan boleh dibatalkan sekiranya kesalahan berulang dan bot disita.

Beliau turut mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan sebarang kesalahan kepada pihaknya dengan menghubungi markas operasi 013-9808084.

Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 2:25pm
d