mutakhir

Lima anjing pengesan ditempatkan di Langkawi

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Lima anjing pengesan Unit K9 kini ditempatkan secara tetap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini, untuk membantu polis menangani kes jenayah di pulau peranginan itu.

Ia adalah kemajuan kedua selepas IPD itu dinaik taraf daripada Kategori B kepada Kategori A pada akhir tahun lalu, sekali gus mendapat pertambahan anggota sehingga mencecah 500 orang.

Kesemua anjing terbabit masing-masing dua memiliki kepakaran mengesan dadah dan bahan letupan serta satu untuk tugasan jenayah.

Diberi nama Black, Bagi, Sparky, Axel dan Goran, kelima-lima anjing terbabit dikendalikan 10 pemegang (handler) dan memulakan tugas sejak 27 Januari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sejumlah RM934,500 dibelanjakan untuk membaik pulih bangunan usang yang juga bekas kediaman anggota polis marin bagi mewujudkan Seksyen K9 di Langkawi.

"Ini adalah Seksyen K9 yang ke-22 ditubuhkan di negara ini, dan seterusnya kita akan mewujudkan seksyen sama di Arau, Perlis dalam tempoh terdekat.

"Sebagai pulau pelancongan antarabangsa, Langkawi memerlukan khidmat anjing pengesan bom dan letupan bagi tujuan 'flushing' serta penugasan keselamatan," katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seksyen K9 Langkawi di bekas Berek Polis Marin di Kuah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dan Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan.

Pada majlis sama, Abdul Hamid turut melancarkan dua pacuan empat roda Toyota Hilux New Facelift untuk kegunaan Unit K9 di Langkawi.

Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 2:45pm
d