mutakhir

Bom lama ditemukan di ladang sawit

Oleh Mary Victoria Dass

Kulai: Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama UPB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menjalankan tindakan pemusnahan bom lama di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Taib Andak, Kulai Johor pada 3 petang, semalam.

Jurucakap polis berkata, bom Unexploded Ordnance (UXO) jenis Artillery Shell85 mm dan Artillery Shell Impact Fuse UXO berkenaan dijumpai penyelia ladang, Syafiq Mahad ketika melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit menjumpai objek itu dalam keadaan berkarat dan dipenuhi tanah sebelum menghubungi Pondok Polis Felda Taib Andak untuk tindakan lanjut.

"Ketika UPB IPK Johor menjalankan pembersihan keselamatan di lokasi sama, satu lagi objek disyaki UXO dijumpai sekitar 25 meter dari lokasi penemuan pertama.

"Tindakan pemusnahan UXO dijalankan secara In Situation (In-situ) dengan menggunakan teknik 'high order' melalui kaedah elektrik.

"Pemusnahan dijalankan tanpa membabitkan kemalangan jiwa mahupun kerosakan harta benda.

"Orang ramai sekiranya menjumpai objek yang mencurigai atau dipercayai bom, sila lapor segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 8:21am
d