mutakhir

Keluarga lelaki curi sekampit beras, sekotak susu dibantu

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Pekerjaan yang tidak menentu dipercayai menjadi antara sebab seorang lelaki memecah masuk sebuah kedai makan dan mencuri sekampit beras serta sekotak susu di Jalan Indah, kelmarin.

Difahamkan, selain membuat kerja kontrak, lelaki berkenaan turut mengutip barang lusuh untuk dijual dan mengharapkan ihsan bantuan orang awam.

Pegawai Pentadbiran Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Nasir Ishak berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keadaan isteri lelaki itu yang berusia 32 tahun bersama lima anak pasangan itu.

"Pasangan ini menetap di Taman Kemang, di sini, dan mempunyai anak yang kesemuanya masih kecil.

"MAINJ Kota Tinggi sudah ke rumah bagi memberi sumbangan berupa barangan fidyah dan bantuan segera berjumlah RM300.

"Kami juga mencadangkan bantuan sara hidup bulanan menerusi MAINJ atas nama isterinya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, polis menahan lelaki warga Indonesia yang dipercayai memecah masuk kedai makan dan mencuri sekampit beras serta sekotak susu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dilaporkan berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di kediamannya kelmarin.

Katanya, suspek menggunakan alasan terpaksa mencuri untuk menanggung keluarga, selain memaklumkan isterinya tidak boleh bekerja sebagai pembantu kantin berikutan sekolah tidak beroperasi.

Berita berkaitan

Pencuri sekampit beras, sekotak susu ditahan

Curi sekampit beras, sekotak susu

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 4:49pm
d