mutakhir

'Anak CP anugerah Allah buat kami'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Tidak pernah sekali kami berasa tidak berpuas hati atau mempertikaikan takdir Allah, malah bersyukur kerana dikurniakan anak ini," kata Zulafizal Kamarudin, 35, yang mempunyai dua anak menderita Cerebral Palsy (CP).

Anak Zulafizal, Muhammad Amrullah, 5, dan Muhammad Adam Amsyar, 3, menghidap CP sejak dilahirkan dan kini menjalani terapi di Rumah Terapi Seni Anak Permata Syurga (RTSAPS) Terengganu di sini.

Menurut nelayan dari Kampung Duyong Kecil itu, dia dan isterinya, Noor Azriyana Ali, 27, sudah menganggap anak istimewa itu sebagai anugerah Allah SWT dan tidak membezakannya dengan seorang lagi anak yang dilahirkan normal.

"Tidak kira sama ada anak sempurna atau istimewa bagi kami semuanya anugerah dan amanah daripada Allah untuk kami.

"Orang luar yang melihat kami sukar untuk menjaga dua anak CP, tapi bagi kami ia proses biasa, sama seperti menjaga orang lain menjaga anak, cuma cabaran tetap ada kerana mereka tidak boleh menguruskan diri sendiri.

"Kami sentiasa bersabar dan berlapang dada serta menerima takdir ini, maka semua urusan akan dipermudahkan Allah," katanya ketika ditemui di RTSAPS, semalam.

Zulafizal berkata, anak bongsunya, Muhammad Affan Aryan kini berusia tujuh bulan, lahir sempurna dan tidak seperti dua abangnya.

Katanya, ketika ini hanya dia seorang bekerja, manakala isterinya berhenti kerja kerana mahu menguruskan anak mereka sepenuh masa.

"Walaupun pendapatan sebagai nelayan tidak menentu dan kadang-kadang tiada langsung, namun rezeki untuk anak sentiasa ada dan datang daripada pelbagai bentuk yang tidak disangka-sangka," katanya yang terbuka menerima bantuan serta bersyukur sekiranya ada pihak mahu membantu serta boleh disalurkan ke akaun Agro Bank 2-00-6411-00009319-8 atas nama Zulafizal.

Noor Azriyana pula berkata, mereka perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk membeli susu khas buat Muhammad Amrullah dan Muhammad Adam Amsyar.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan RM100 sebulan dan mereka kini dalam proses memohon sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) bagi membiayai kos susu itu dan lain-lain keperluan.

Sementara itu, Pengerusi Anak Permata Syurga (APS) Azita Mohd berkata, seramai 90 anak istimewa kategori CP mendapat rawatan terapi dengan RTSAPS.

"Urutan terapi seni dan saraf dijalankan dua kali sebulan dan ia di bawah pemantauan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), JKM dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

"RTSAPS menjadi pusat sehenti untuk anak-anak CP dan turut menawarkan perkhidmatan menjaga anak CP tanpa caj," katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 6:12pm
d