mutakhir

Seksa cincin tersekat di kemaluan

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Lelaki warga Indonesia menahan kesakitan kira-kira 24 jam apabila cincin tersekat pada kemaluannya.

Lelaki yang berusia 21 tahun itu kemudian ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan bantuan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada bilik prosedur HTAR jam 6.07 petang dan sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas bergegas ke hospital itu.

"Anggota melakukan kerja memotong cincin berkenaan menggunakan peralatan khas dan ia selesai dalam tempoh 20 minit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, difahamkan cincin berkenaan tersekat sejak petang semalam dan kemaluan lelaki itu sudah membengkak.

Dalam perkembangan lain, seorang pegawai bomba dimasukkan ke Hospital Serdang pada jam 7.27 malam selepas mengalami muntah-muntah dipercayai akibat terhidu gas beracun.

Muhammad Zaikunor Afendi Muhammad Nordin dipercayai terhidu gas beracun ketika menghadiri operasi pemadaman kebakaran kilang di Taman Industri Puchong petang tadi.

Difahamkan, beliau kini mendapatkan rawatan di zon merah hospital berkenaan.

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 10:58pm
d