mutakhir

Bantu 'saudara isteri', pekebun rugi RM27,800

Oleh Shahrinnahar Latib

Maran: Seorang pekebun di sini menanggung kerugian RM27,800 selepas diperdaya seorang wanita yang menyamar sebagai saudara isterinya, semalam.

Mangsa berusia 45 tahun itu dihubungi seorang wanita jam 10.14 pagi dan mengaku sebagai saudara kepada isterinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memberitahu mahu meminjam wang dan akan memulangkan pada sebelah petang hari yang sama.

"Mangsa yang mempercayai suspek membuat pindahan wang ke dalam akaun diarahkan wanita terbabit beberapa kali. Jumlah keseluruhan sebanyak RM27,800," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas itu perempuan yang menyamar sebagai saudara isteri memberitahu mahu berjumpanya di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kuantan pada 1 petang.

"Mangsa kemudian pergi ke UTC dan menunggu agak lama tetapi suspek tidak ada di situ. Mangsa yang berasa ditipu suspek kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam," katanya.

Katanya, modus operandi suspek adalah dengan dengan menyamar sebagai saudara kepada isteri mangsa sehingga mendorong membuat bayaran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 9:55am
d