mutakhir

Pendaftaran meningkat tapi jumlahnya kurang memuaskan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 442,192, berbanding 324,000 yang dilaporkan pada 22 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, peningkatan itu bagaimanapun masih lagi kurang memuaskan.

"Individu yang sudah menerima suntikan setakat ini ialah 50,033 iaitu 30,229 menerima dos pertama, manakala dos kedua seramai 19,804 orang.

"Kita harap lebih ramai tampil untuk mendaftar terus di aplikasi MySejahtera mahupun talian hotline 1800-888-828 atau laman www.vaksincovid.gov.my.

"Selain itu mereka boleh pergi ke pejabat daerah atau masjid yang kita laksanakan pendaftaran suntikan Covid-19," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran My iNsPARK dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SWCorp Kedah dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Pada 23 Mac lalu, media melaporkan pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Kedah hanya kira-kira 20 peratus atau 324,000 orang, berbanding sasaran 1.76 juta penduduk.

Dr Mohd Hayati menasihati penduduk supaya tidak bimbang dengan kesan sampingan vaksin berikutan tiada kes menunjukkan penerima suntikan mengalami kesan teruk selepas divaksin, ketika ini.

"Pagi tadi pun (hari ini) saya pergi ke program suntikan di Dewan Cenderawasih, Pendang, ramai yang sedang beratur untuk mendapatkan suntikan.

"Harap masyarakat jangan bimbang sebab dalam negara sudah beratus ribu barisan hadapan disuntik vaksin, mereka tidak mengalami kesan yang teruk, jika ada lenguh-lenguh dan demam sedikit selepas divaksin itu biasa lah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 6:48pm
    d