mutakhir

NUJM lancar tabung khas latih semula bekas petugas media

Oleh Farah Marshita Abdul Patah

Cyberjaya: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) dengan kerjasama Pop Meals, hari ini, melancarkan tabung khas dalam usaha membela dan memperjuangkan nasib wartawan serta bekas petugas media.

Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah, berkata setakat ini lebih 3,000 petugas media kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19.

Malah katanya, NUJM sendiri kehilangan hampir 1,000 ahli dari cawangan Utusan, The Star dan New Straits Times Press (NSTP) sejak 2019.

"Lebih menyedihkan sehingga kini masih ada bekas ahli kami yang gagal untuk mendapatkan pekerjaan dan terpaksa menggunakan duit simpanan yang semakin menipis selain bergantung kepada bantuan kerajaan untuk meneruskan hidup.

"Mereka (bekas petugas media) mempunyai pelbagai kemahiran dan kebolehan yang boleh dilatih semula, oleh itu adalah menjadi tanggungjawab NUJM untuk mengerakkan inisiatif ini" katanya pada pelancaran kempen "Help Journos Re-skill, Enjoy Pop Meals" di D'Pulze di sini, hari ini.

Tambahnya melalui kempen dan kerjasama itu, NUJM akan menganjurkan bengkel latihan semula bagi memastikan bekas petugas dapat menceburi bidang baharu serta memperluaskan kemahiran dan rangkaian mereka.

Katanya untuk peringkat permulaan, NUJM menyasarkan seramai 400 bekas petugas media untuk menjalani latihan yang akan diadakan pada tahun ini.

"Sekiranya kami berjaya mendapat sumbangan dana daripada pelbagai pihak lain, maka, inisiatif ini akan diteruskan sehingga tiada lagi bekas petugas media yang menganggur," katanya.

Sementara itu mengenai sumbangan berkenaan, Pengurus Besar Operasi Pop Meals, Shaik Ali Fikri Bajunid, berkata pihaknya menyumbang wang tunai RM5,000 serta 1,000 baucer tunai bernilai RM10 untuk pembelian makanan Pop Meals kepada ahli NUJM dan petugas media.

Shaik Ali, berkata kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk membantu petugas media yang selama ini banyak membantu usahawan dan masyarakat.

"Kita tahu NUJM cuba untuk melatih semula petugas media yang dah lama dalam industri dan Pop Meals rasa mereka adalah rakan kongsi dalam menjayakan usaha ini.

"Untuk membolehkan NUJM memulakan inisiatif mereka, Pop Meals menyumbangkan wang tunai sebanyak RM5,000 selain potongan RM10 kepada petugas media bagi pembelian Pop Meals sama ada di kiosk atau menerusi aplikasi dalam talian," katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 9:43pm
d