mutakhir

'Kami akan rindu leteran mama' [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: "Arwah mama ada berhasrat mahu berkumpul dengan adik-beradiknya untuk berbuka puasa pada hari pertama Ramadan, namun Allah lebih menyayangi mama," kata Faizul Hafiz Hashim, 36, anak kepada pelakon drama, Noryati Taib yang meninggal dunia hari ini.

Noryati, 63, atau lebih popular dengan panggilan 'Mak Cik Petir' dalam kalangan peminat meninggal dunia jam 1.45 pagi tadi akibat sakit tua.

Faizul Hafiz berkata, hasrat itu disuarakan arwah pada akhir Februari lalu, selepas mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari akibat komplikasi buah pinggang.

Katanya, arwah seorang yang sering berpesan kepada anak dan gemar 'berleter'.

"Arwah mama memang suka berpesan, dia punya 'leteran' memang kita rindu. Setiap hari dia berpesan supaya jangan sakitkan hati orang, jangan menipu dan berbaik dengan masyarakat.

"Mama ada cakap juga puasa pertama nanti nak ajak adik-beradiknya berbuka bersama di kediaman di Taman Air Biru, Pasir Gudang.

"Biasanya sebelum ini, kami berbuka di rumah pusaka keluarga di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini. Namun disebabkan mama susah nak bergerak selepas kaki dipotong pada 2017 lalu akibat diabetes, dia mahu berbuka bersama di rumahnya.

"Kali terakhir mama keluar Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 27 Februari lalu akibat komplikasi buah pinggang. Selepas keluar HSI memang mama tidak berlakon lagi," katanya yang sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh di sini, hari ini.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, selepas Noryati keluar dari HSI pada akhir Februari lalu, selera makannya bertambah.

"Lepas keluar hospital selera makan bertambah. Mama cakap beri saja apa yang mahu dimakan, kami bagi juga tetapi tetap pantau diet dia.

"Mama ramai anak angkat dalam industri, antara yang kerap menghubungi mama seperti pelakon Sharnaaz Ahmad, Mamat Sepahtu, Joey Said dan Along Cham.

"Masa mama masuk Hospital dulu, dia selalu dihubungi Sharnaaz Ahmad, Mamat Sepahtu, Joey, Along Cham. Mereka itu anak angkat mama yang kerap hubungi sama ada melalui saya atau mama sendiri," katanya.

Jenazah Noryati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, di sini jam 11.30 pagi, selepas disembahyangkan di Masjid Al-iltihad Perjiranan 9 Taman Air Biru, Pasir Gudang.

Berita berkaitan

'Mak cik petir' meninggal dunia

Disiarkan pada: April 7, 2021 @ 1:08pm
d