mutakhir

Reka cerita positif Covid-19, enggan kerja di restoran

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini, di sini, bagi membantu siasatan berhubung memalsukan laporan keputusan ujian calitan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja itu ditahan 1 tengah hari tadi, susulan laporan polis yang dibuat pemilik sebuah restoran di Skudai, semalam.

Katanya, pihaknya dimaklumkan pengadu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada pekerjanya dengan menghantar sekeping gambar surat mendakwa positif Covid-19.

"Disebabkan itu, majikan lelaki berusia 32 tahun itu menutup restorannya dan ke klinik bersama 12 pekerja lain untuk membuat ujian calitan.

"Keputusan ujian calitan mendapati kesemua pekerjanya termasuk majikan restoran negatif Covid-19.

"Lelaki berkenaan kemudian bertanya kepada individu itu sebelum mengaku menipu majikannya disebabkan tidak mahu datang bekerja kerana merasakan diri tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menurut majikan berkenaan, remaja itu baharu sehari diterima bekerja di restoran terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420/468 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan

laporan pemeriksaan ujian calitan Covid-19 dan suspek akan dimohon perintah reman," katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2021 @ 8:50pm
d