mutakhir

Individu muat naik hantaran kematian anggota polis sudah dipanggil [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Polis sudah memanggil individu yang dipercayai memuat naik hantaran mengenai dakwaan kematian anggota polis yang bertugas di Gerik kononnya akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kesalahan fitnah jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No.2) 2021.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut mengenai perkara itu diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Berita itu memang disahkan sebagai berita palsu dan kita juga sudah mengenal pasti suspek dalam kes ini tetapi untuk makluman siasatan kes diambil alih USJT Bukit Aman.

"Saya difahamkan mereka juga sudah memanggil suspek dalam kes ini yang tinggal di Pulau Pinang dan merakam percakapannya. Kita tunggu hasil siasatan dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Hilir Perak antara Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh dengan Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota berkenaan mempunyai masalah jantung, namun keadaannya stabil dan kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Anggota sudah stabil dan saya melawatnya dua hari lalu. Dia juga sudah dihantar ke IJN untuk menerima rawatan lanjut, jadi memang sahlah beliau ada masalah jantung," katanya.

Katanya, pihaknya menerima satu lagi kes membabitkan penularan maklumat mendakwa seorang anggota yang menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim yang kononnya sakit selepas pengambilan vaksin itu.

Katanya, penyebaran mesej itu dilakukan individu tidak bertanggungjawab di WhatsApp dan ia adalah tidak benar sebaliknya anggota terbabit hanya mengalami alahan biasa.

"Alhamdulillah (keadaan) beliau sudah baik dan (apa yang berlaku adalah cuma) alahan sedikit tetapi beliau sudah kembali bertugas. Kita juga sedang mengesan individu yang menyebarkan mesej itu," katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, maklumat kematian anggota polis yang bertugas di pondok polis di Gerik kononnya akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin Covid-19 adalah tidak benar.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 5:34pm
d