mutakhir

Reka cipta, inovasi 50 sekolah di Perak diiktiraf MBOR

Tanjung Malim: Hasil dua reka cipta dan inovasi 730 murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) 2021 di Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun), dekat sini.

Reka cipta dan inovasi dihasilkan itu, Most Number Of Children's Pop-Up Art Book In Green Campaign memecahkan rekod terdahulu, manakala Most Number Aquaponic Pots Made of Recycled Materials mencatatkan rekod baharu.

Program berkenaan yang membabitkan 50 sekolah dijalankan selama sejam di sekolah yang siarkan secara langsung menerusi saluran Live Streaming @ Kokurikulum Perak di Youtube.

Kejayaan manis itu adalah anjuran Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dengan kerjasama Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Aspire Dynamic.

Detik bersejarah itu diumumkan Pengurus Program dan Komunikasi Korporat MBOR Aaron Bong disaksikan Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Ahmad Saidi Mohamad Daud, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz dan Pengarah Pendidikan negeri Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

Saarani berkata, kejayaan itu salah satu usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan JPN di dalam memperkasakan pendidikan di negeri ini.

Katanya, institusi pendidikan memainkan peranan yang sangat signifikan, khususnya dalam mendidik generasi muda mengenai kepentingan memulihara alam sekitar demi kelangsungan generasi masa depan.

"Saya melihat usaha memperkenalkan teknik penanaman akuaponik adalah usaha yang kreatif dan mudah dilaksanakan oleh murid dan pelajar.

"Penggunaan bahan kitar semula menambahkan lagi keunikan pembuatan set akuaponik dan ini harus dipupuk kepada semua anak didik kita agar mereka memahami konsep 3R dengan jelas," katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 8:53pm
d