mutakhir

Anggota TLDM cedera jatuh bukit

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Botak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa berusia 41 tahun dikatakan sedang dalam perjalanan menuruni bukit berkenaan dalam keadaan cuaca hujan.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai tergelincir sehingga menyebabkan tulang paha kanannya patah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Agustavia Joe Guasi ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.15 petang.

Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sebaik tiba, mangsa masih berada di bahagian atas bukit dan operasi membawa mangsa turun dijalankan menggunakan papan pengusung.

"Mengikut laporan awal, pasukan paramedik TLDM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi percaya kaki mangsa berkemungkinan patah akibat kejadian tergelincir berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agustavia berkata, mangsa berjaya dibawa turun sebelum dihantar mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran dan operasi tamat sepenuhnya pada 7.19 malam.

Disiarkan pada: April 8, 2021 @ 9:12pm
d