mutakhir

'Tolong bertanggungjawab setiap apa dikongsi di media sosial'

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Tolong bertanggungjawab atas setiap apa dikongsikan di media sosial, walaupun sesuatu perkara itu hak peribadi," kata penceramah bebas, Ustazah Asma Harun.

Beliau mengulas tindakan segelintir pihak yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan masyarakat dan pengikut tertentu namun sering menggunakan media sosial hingga menimbulkan pelbagai persepsi kurang baik dan kekeliruan dalam masyarakat.

Asma berkata, walaupun tindakan itu dilakukan atas nama hak peribadi, tetapi mereka perlu berhati-hati kerana setiap perkara itu ada memberi impak, apa lagi ia boleh menimbulkan kekeruhan dan salah faham dalam masyarakat.

"Ketika menjelang Ramadan ini, kita dapat saksikan pelbagai isu kontroversi timbul, atau tular di media sosial termasuk isu agama dan ada isu yang menimbulkan kebencian sesama Muslim.

"Semuanya ini boleh memburukkan keadaan. Jadi saya nasihatkan pada diri saya sendiri serta mereka yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, supaya bertanggungjawab terhadap apa yang dikongsikan dalam laman sosial.

"Kita harus faham bahawa apa juga yang kita lakukan semuanya akan dipersoalkan di Akhirat kelak, jadi berhati-hati jika kita yang menjadi punca kepada sesuatu kekeruhan," katanya selepas Majlis Pelancaran Semarak Ramadan@Anjung Bonda Nor dan Buku Trilogi Ibu Tunggal & Muhasabah Diri di Galeri Ustazah Asma Harun, Bandar Prima Senawang, di sini, tadi.

Hadir sama, penulis dan penceramah motivasi, Norli Madlan.

Asma berkata, apa yang dikhuatiri ialah perkara yang dikongsikan itu akan menimbulkan rasa taasub seseorang dan ia sangat bahaya kerana boleh memecahbelahkan masyarakat.

"Minat itu tidak salah, tetapi jangan terlalu taasub hingga mencetuskan kekeruhan.

"Sikap taasub ini adalah satu celaan dalam agama yang boleh menyebabkan seseorang hanya melihat keburukan saja kepada musuh dan kebaikan saja kepada orang yang kita taasub.

"Walaupun kebenaran itu ada pada musuh tetapi disebabkan kita tidak suka, maka kita tidak nampak kebenarannya.

"Lebih memburukkan keadaan apabila orang yang kita taasub melakukan kesilapan, tapi kita tidak nampak kesilapan yang dilakukannya.

Sementara itu, Norli berkata, buku Trilogi Ibu Tunggal adalah koleksi baharu yang memaparkan kisah perjuangan tiga wanita kehilangan suami akibat tragedi hingga melunturkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya membantu ibu tunggal berkenaan sehingga membolehkan mereka kembali bangkit meneruskan kehidupan demi keluarga.

Disiarkan pada: April 9, 2021 @ 6:57pm
d