mutakhir

Tengku Hassanal tamat Kursus Asas Sniper

Oleh Shahrinnahar Latib

Bentong: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berjaya menamatkan Kursus Asas Sniper semalam selepas menjalani latihan selama empat minggu di Melaka.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan Tuanku.

"Patik sungguh kagum dan teruja melihat ketangkasan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menembak tepat ke sasaran, untuk ketiga-tiga kategori yang ditetapkan.

"Ketepatan penembakan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terus mengingatkan patik kepada filem-filem barat, yang mengisahkan tentang kehebatan penembak tepat yakni sniper atau turut dikenali sebagai 'marksman'.

"Ketangkasan seorang sniper atau 'marksman' yang patik fahami, bukanlah calang-calang. Pelbagai faktor diambil kira, termasuklah dalam penentuan jarak serta aliran dan kelajuan angin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Komputer Riba Kepada Sekolah-Sekolah Terkesan Banjir di Genting Highland di sini hari ini.

Tengku Hassanal berkenan berangkat menyempurnakan majlis berkenaan dan turut berkenan menyampaikan sumbangan komputer riba kepada wakil Pejabat Pendidikan Daerah.

Turut hadir, Tuan Yang Terutama Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ibrahim.

Sumbangan berbentuk barangan berupa 100 buah komputer riba bernilai keseluruhan RM300,000 adalah dari Kerajaan Republik Rakyat China buat Yayasan Al-Sultan Abdullah(YASA) kepada Kerajaan Pahang.

Semalam berlangsung majlis pemakaian lencana sniper dan penyampaian Sijil Kursus Asas Sniper kepada Tengku Hassanal yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan SriZamrose Mohd Zain di lapang sasar 600 Meter, Kem Terendak, Melaka.

Baginda menghadiri Kursus Asas Sniper selama empat minggu bermula 15 Mac hingga 7 April lalu bertempat di Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat (PULPAK), Kem Sungai Udang.

Disiarkan pada: April 9, 2021 @ 7:37pm
d