mutakhir

Tangguh tukar pegawai kanan polis, KPN akan jumpa Menteri Dalam Negeri

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkaitan pelaksanaan pertukaran jawatan pegawai kanan polis yang ditangguhkan sebelum ini.

Abdul Hamid berkata, perjumpaan itu bagi menjelaskan tentang kedudukannya serta kuasa beliau selaku Ketua Polis Negara.

"Tindakan saya mengeluarkan perintah pertukaran itu seperti mana undang-undang menyatakan 'Command and Control' kawal selia polis adalah di bawah tanggungjawab saya sebagai Ketua Polis Negara.

"Saya mengeluarkan arahan pertukaran pegawai untuk kebaikan semua dan tiada apa-apa yang luar biasa.

"Di saat akhir ketika saya sedang bercuti, tiba-tiba dapat arahan menyatakan ia hendaklah ditangguhkan. Jadi saya akan berjumpa dengan beliau (Hamzah) dan akan memberikan penjelasan kenapa ia perlu diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat AMANITA Kontinjen Selangor di Bandar Puteri, hari ini.

Terdahulu, tular di Facebook mendakwa berlaku campur tangan politik membabitkan menteri kabinet yang mengeluarkan arahan menangguhkan pertukaran ketua polis.

Tulisan itu menyatakan "Nampaknya campur tangan politik dalam Command dan Control of PDRM dah melampau...dengarnya pertukaran KP yang diarahkan oleh KPN ditangguhkan dulu atas arahan menteri."

Disiarkan pada: April 10, 2021 @ 2:33pm
d