mutakhir

Jejak & buru kaki jerat

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Jejaki dan buru beratus 'kaki burung' dan pemburu spesies burung dilindungi secara agresif di seluruh negara.

Itu tindakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan taman Negara (Perhilitan) selepas mendapati pelbagai spesies burung tempatan kian pupus akibat aktiviti menjerat burung dilakukan berleluasa.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) kelmarin, sepasukan anggota Perhilitan melakukan intipan di dalam Hutan Taman Negara Johor Gunung Ledang.

Serbuan jam 11 pagi disertai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perhutanan Johor itu, seorang lelaki tempatan berusia awal 20-an diberkas.

"Pemeriksaan lanjut menemui seekor burung murai batu, dua jerat jebak, jaring burung dan pelbagai peralatan untuk menjerat burung. Suspek dipercayai pemburu burung profesional berikutan turut membawa khemah dan sangkar ketika di dalam hutan.

"Susulan itu suspek ditahan dan dibawa ke Pejabat Perhilitan Segamat bersama bukti rampasan," katanya.

Sementara itu dalam satu lagi operasi berasingan pada jam 1.30 tengah hari kelmarin, empat anggota penguatkuasa Perhilitan Johor melakukan serbuan di sebuah premis pemborong ikan di Kota Tinggi, Johor.

Hasil pemeriksaan dilakukan menemui burung helang jambul dan burung helang merah yang dibela tanpa surat kebenaran daripada Perhilitan.

"Pemiliknya seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan dan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 ( Akta 716 )," katanya.

Tindakan sama turut dilakukan pihak Perhilitan dengan menyerbu sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Pasir Mas, Kelantan, Rabu lalu.

"Dalam serbuan jam 3 petang itu, pihak Perhilitan menahan seorang lelaki berusia 20-an dan seorang wanita berusia 30-an sebelum menemui lima ekor burung murai batu dan seekor burung bayan puling yang dibela di kediaman itu.

"Turut dirampas empat ekor burung daun, masing-masing dua ekor burung ruak-ruak, burung dendang selayang dan burung sambar api serta masing-masing satu burung tiong mas, burung enggang gatal birah dan burung pacat bakau," katanya.

Menurutnya, semua barang kes itu dirampas berikutan pemiliknya tiada dokumen kebenaran daripada Perhilitan.

"Pemiliknya boleh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) dan Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.

Operasi sama turut dilakukan di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur apabila pihak Perhilitan menyoal siasat seorang lelaki berusia 30-an sebelum menemui empat ekor burung murai batu dalam simpanannya.

Turut ditemui burung luris leher dan burung daun yang dikategorikan sebagai haiwan dilindungi.

"Walaupun lelaki itu mendakwa membelanya sebagai hobi namun ia tetap menjadi kesalahan berikutan dia tidak memohon lesen daripada Perhilitan. Susulan itu semua burung itu dirampas dan lelaki terbabit bakal didakwa," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2021 @ 7:01am
d